Antara akhlak buruk dalam persahabatan
itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk
serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda
kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda
sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat
lama anda.
Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya
akan terputus! Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan
label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia
adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.
Ya, menjalinkan silaturrahim sesama
manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana
kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama
manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa
bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda
kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.
Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda
dan mereka tiada seri!
Kerana menjumpai sahabat baru, maka
sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.
Saya sangat pasti, anda tidak mahu
persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti
ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.
Sahabat anda yang lama itu, jika benar
menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda
bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan
baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila
anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya
terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai
berbanding dia.
Persoalannya bukanlah kerana anda
mempunyai sahabat baru.Tetapi persoalannya adalah mengenai
sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina.
Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan.
Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat
ini memang betul!
Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat
Saya suka membaca mengenai sirah
Rasulullah SAW; layanan Baginda terhadap kesemuanya sahabatnya. Umum tahu
bahawa Baginda mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup susah senang bersama
Baginda. Dan setiap seorang dari mereka itu sebolehnya Baginda memberikan
layanan istimewa dan membuatkan mereka merasa jiwa mereka dan jiwa Baginda itu
sangat dekat walaupun Baginda pernah mengatakan bahawa sahabat yang paling
dicintainya adalah Abu Bakar r.a..
Namun itu tidak membuatkan mereka jauh
hati. Mereka merasa diberi keistimewaan oleh Rasulullah SAW sendiri, malahan!
Layanan dan pendekatan yang Rasulullah berikan terhadap para sahabatnya
menumbuhkan perasaan kepada diri masing-masing bahawa diri mereka adalah orang
yang terdekat dengan Rasulullah SAW.
Rasulullah tidak lokek untuk memuji para
sahabatnya. Walaupun kedudukan Rasulullah itu tinggi dan manusia mulia, namun
itu tidak menghalang Rasulullah untuk bergurau-senda dengan sahabat-sahabat
Baginda SAW. Sebagai contoh, Abu Dzar pernah berjalan-jalan dengan Baginda SAW
disuatu malam. Mu’adz pernah menunggang tunggangan berdua dengan Rasulullah dan
banyak lagi akhlak Rasulullah yang menjadikan mereka merasa mereka mendapat
tempat dihati Rasulullah SAW.
Indah kan? Saya jadi tersenyum sendiri
dengan perwatakan dan pendekatan Baginda SAW. Wallahi, memang Baginda adalah
contoh manusia ikutan sepanjang zaman! Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad!
Semaikanlah Benih Ukhuwah. Begitu juga sepatutnya, kita ini sebagai
ummat Baginda SAW. Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap
merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!
Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya
sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya.
Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi
dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi
malah membantunya!
Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk
mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda
kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang
teruk! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang
baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu
dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.
Jangan sahabat baru bertambah, sahabat
lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah.
Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya..
Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga
hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika
bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang
paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”
MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai
seorang sahabat? Yang memuliakan sahabatnya lebih
daripada diri sendiri. Nasihat yang terutamanya untuk diri saya
sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar. Jika anda ada sahabat yang mengasihi
anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.Bersyukur dan berilah rasa istimewa
dihatinya sebagai seorang sahabat anda. Kerana dia, adalah sebahagian daripada
hidup ini untuk ke akhirat! Senyum dalam keimanan selalu.
Semoga ALLAh merahmati.