Ukhwah bermula jua disini

Isnin, 16 April 2012

Sahabat Lama vs Sahabat Baru


Antara akhlak buruk dalam persahabatan itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat lama anda.

Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya akan terputus! Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.

Ya, menjalinkan silaturrahim sesama manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.

Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda dan mereka tiada seri!
Kerana menjumpai sahabat baru, maka sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.

Saya sangat pasti, anda tidak mahu persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.

Sahabat anda yang lama itu, jika benar menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai berbanding dia.

Persoalannya bukanlah kerana anda mempunyai sahabat baru.Tetapi persoalannya adalah mengenai sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina. Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan. Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat ini memang betul!


Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat

Saya suka membaca mengenai sirah Rasulullah SAW; layanan Baginda terhadap kesemuanya sahabatnya. Umum tahu bahawa Baginda mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup susah senang bersama Baginda. Dan setiap seorang dari mereka itu sebolehnya Baginda memberikan layanan istimewa dan membuatkan mereka merasa jiwa mereka dan jiwa Baginda itu sangat dekat walaupun Baginda pernah mengatakan bahawa sahabat yang paling dicintainya adalah Abu Bakar r.a..

Namun itu tidak membuatkan mereka jauh hati. Mereka merasa diberi keistimewaan oleh Rasulullah SAW sendiri, malahan! Layanan dan pendekatan yang Rasulullah berikan terhadap para sahabatnya menumbuhkan perasaan kepada diri masing-masing bahawa diri mereka adalah orang yang terdekat dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah tidak lokek untuk memuji para sahabatnya. Walaupun kedudukan Rasulullah itu tinggi dan manusia mulia, namun itu tidak menghalang Rasulullah untuk bergurau-senda dengan sahabat-sahabat Baginda SAW. Sebagai contoh, Abu Dzar pernah berjalan-jalan dengan Baginda SAW disuatu malam. Mu’adz pernah menunggang tunggangan berdua dengan Rasulullah dan banyak lagi akhlak Rasulullah yang menjadikan mereka merasa mereka mendapat tempat dihati Rasulullah SAW.

Indah kan? Saya jadi tersenyum sendiri dengan perwatakan dan pendekatan Baginda SAW. Wallahi, memang Baginda adalah contoh manusia ikutan sepanjang zaman! Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad!

Semaikanlah Benih Ukhuwah. Begitu juga sepatutnya, kita ini sebagai ummat Baginda SAW. Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!

Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya. Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi malah membantunya!

Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang teruk! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.

Jangan sahabat baru bertambah, sahabat lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah. Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya..

Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”

MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai seorang sahabat? Yang memuliakan sahabatnya lebih daripada diri sendiri. Nasihat yang terutamanya untuk diri saya sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar. Jika anda ada sahabat yang mengasihi anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.Bersyukur dan berilah rasa istimewa dihatinya sebagai seorang sahabat anda. Kerana dia, adalah sebahagian daripada hidup ini untuk ke akhirat! Senyum dalam keimanan selalu.
Semoga ALLAh merahmati.