Ukhwah bermula jua disini

Rabu, 20 Jun 2012

Dugaan Orang Beriman...Adakah kita terg0l0ng Diantara Mereka..



Setiap kali kita berbicara berkenaan dengan dugaan orang yang beriman, kita seringkali diberitahu dugaan orang yang beriman cukup berat. Lalu kita diberikan contoh-contoh dugaan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda. Kita ditanamkan terus dengan cerita-cerita bahawa alim ulama sebelum kita terpaksa bersusah payah menghadapi dugaan mereka.

Cerita-cerita dugaan orang yang beriman ini sedikit sebanyak menanamkan satu persepsi di dalam fikiran kita bahawa kita juga pasti akan diduga dengan dugaan yang berat jika kita ingin menjadi orang yang beriman. Tidak kurang juga ramai yang tidak mahu beriman kerana bimbang dengan dugaan yang berat yang bakal menimpa.
Kesilapan bertahun-tahun di atas persepsi ini membuatkan beriman itu seolah-olah menyusahkan iaitu pasti akan menempuh dugaan yang besar. Namun realiti dan hakikatnya tidak begitu.

Kita terlupa atau tidak sedar bahawa sebenarnya kehidupan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda cukup bahagia dan tenang. Baginda dan sahabat tidak pernah mengeluh dengan semua dugaan yang dihadapi kerana keyakinan kepada Allah SWT cukup kuat dan kukuh.

Persepsi yang selalu dikatakan hanyalah persepsi kepada yang melihat. Kita melihat dugaan orang yang beriman adalah cukup hebat dan berat. Tetapi bagi orang yang beriman itu, hakikatnya mereka menghadapi dugaan dengan cukup tenang dan dugaan itu tidak langsung memberikan apa-apa masalah dalam kehidupan mereka.

Seharusnya kita melihat hal ini dari persepsi orang yang beriman itu sendiri. Maka sebenarnya dugaan yang dihadapi oleh orang yang beriman itu sebenarnya hanyalah kecil atau langsung tidak dinamakan dugaan bagi orang yang beriman itu. Semuanya adalah ketentuan Allah SWT yang kita perlu lalui dengan berserah, pasrah dan redha.
Maka tidak perlulah kita bimbang dengan dugaan yang datang apabila setiap hari kita ingin berada dekat dengan Allah SWT. Semakin kita hampir dengan Allah SWT, semakin kukuh keyakinan kita kepada ketentuan Allah SWT. Kita akan berasa semakin ringan dugaan yang menimpa walaupun mereka yang melihat dugaan yang kita hadapi merupakan dugaan yang besar.

Semoga setiap saat, iman kita semakin bertambah. Amin

BERSANGKA BAIKLAH....


bila Allah cepat makbulkan doamu.....maka DIA menyayangimu,
bila DIA lambat makbulkan doamu.....maka DIA ingin mengujimu,
bila DIA tidak makbulkan doamu......maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.

oleh itu,
sentiasalah bersangka baik pada ALLAH dalam apa jua keadaan pun
kerana kasih sayang ALLAH itu mendahului kemungkaranNYA

oleh itu,
INGATLAH pesanan pendek ini
KHABARKAN kepada semua orang tersayang di sekelilingmu
agar mereka dan kita sentiasa MENGIGATINYA
agar kita sentiasa BERSYUKUR
agar kita tidak lagi LEKA
agar kita terus PRIHATIN

kalau anda tidak mengingatkan orang kesayangan di sekeliling dengan perasaan ini terutama ketika mereka memerlukannya, bermakna anda sudah mula melupakan mereka.

ambillah sedikit masa dan anda sudah pasti memberi keceriaan kepada seseorang atau mungkin mengubah hidup mereka kepada yang lebih baik
insyaALLAH.....

Kita Hanyalah Insan Yang Lemah


Dalam mengejar erti kehidupan ini, sebenarnya kita amat kerdil dan hina.Semua yang berlaku ini adalah suatu kurniaan Allah buat seketika waktu selagi mana nyawa dikandung badan.Kita sihat kerana-Nya,kita kuat kerana-Nya,kita sakit kerana-Nya dan semua itu kerana-Nya.

Amat malang dan hinalah bagi mereka yang begitu bongkak dan takabbur pada diri seperti dialah pembuat segalanya.

Kita ini hidup adalah kerana adanya nikmat nyawa dan kesihatan daripa-Nya,kita mampu melihat adalah kerana nikmat-Nya juga.Semua itu kerana dia segalanya.

Menjadi seorang yang benar-benar kenal erti diri amatlah payah dan susah melainkan kepayahan dan kesusahan itu telah mereka tempuhi.

Sebagai seorang mahasiswa mahu pun mahasiswi isu semasa bagi mereka nikmat itu ibarat pra kehidupan sebelum adanya segalanya.Kenalilah diri melalui sesuatu jalan yang diredhai dan disenangi mudah-mudahan iman kita meningkat dari hari ke hari.

Jangan kau Tangisi Apa yang Bukan Milik-Mu



Semasa tidur tengahari tadi selepas solat zohor dengan izin Allah SWT saya telah bermimpi…

Saya bermimpi menjaga seorang wanita yang cantik, wanita itu ingin menyalin pakaian dan mandi di sebuah tandas yang usang. Saya berdiri di hadapan pintu masuk dan menjaga tandas itu agar tiada lelaki yang dapat memasukinya atau mengintip wanita itu mandi. Bahkan saya sendiri tidak memandang wanita itu sebaliknya begitu cermat dan berhati-hati mengawal tandas tersebut.

Berpusing-pusing mengelilingi tandas yang usang dan mengawal dengan setia.

Saya menjadi pengawal yang sangat berdedikasi kerana inginkan kebaikan kepada wanita itu.

Malangnya saya diherdik dari dalam, dituduh oleh wanita itu kononnya saya mahu menghendapnya, mahu mengintipnya dan menyuruh saya supaya pergi.

Terdengar suara yang menyakitkan dengan tuduhan yang pelbagai.

Namun saya tabah dan setia mengawalnya kerana saya berpendapat saya telah jatuh hati kepadanya dan mahu mengawal demi untuk kebaikannya.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang kacak dan bergaya moden, menerjah masuk ke dalam tandas tersebut daripada pintu belakang dan berjalan menuju ke ruangan mandi wanita tersebut, sambil bersandar di dinding menghadap wanita tersebut maka lelaki itu pun kemudian berborak mesra dan bertegur sapa dengan wanita itu.

Mereka berbual mesra seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Melihat keadaan yang berlaku saya segera menjadi sedih, benci dan geram yang tidak terhingga lalu berjalan keluar meninggalkan wanita tersebut dan tandas yang usang itu.

Sebelum terjaga maka saya terdengar sebuah suara yang menegur saya dengan mengatakan:

“Janganlah bersedih atau runsing dengan sesuatu yang bukan milikmu.”


Saudara/i yang dihormati sekalian,

Kita hanyalah disuruh berusaha bukan mengharap hasil balasan atas apa yang diusahakan di dunia kerana akhiratlah nanti baru merupakan hari pembalasan bukan sekarang ini di dunia.

Di dalam kehidupan ini kita sering menghadapi kekecewaan apabila kebaikan yang dilakukan tidak mendapat balasan yang setimpal.

Namun apabila kita sedar bahawa dunia ini bukanlah milik kita dan setiap sesuatu yang wujud di sisi kita hanyalah sebagai pinjaman yang sementara yang akan kita tinggalkan maka dengan izin Allah kita akan mampu untuk berasa tenang dan merasai bahagia.

Daripada Ibnu Umar ra yang menyebut bahawa rasulullah pernah memegang bahunya lalu bersabda : “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.” Lalu Ibnu Umar berkata : “Jika engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu sehingga waktu pagi dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu waktu petang tetapi pergunakanlah waktu sihatmu sebelum kamu menjadi sakit dan waktu hidupmu sebelum kamu mati.”( Hadis riwayat Bukhari)

Kewajipan kita tersangatlah banyak, sedangkan masa kita pula adalah tersangat terhad maka oleh kerana itu janganlah kita membuang masa, waktu dan tenaga untuk bersedih kepada sesuatu yang bukan milik kita dan tidak pula menjadi beban tanggungjawab kita.

Kurangkanlah beban di dalam hidup.

Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah meninggalkan apa yang tidak perlu untuk bekalan kita di hari akhirat. Sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari riwayat Abu Hurairah ra yang bermaksud : “ Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis hasan, riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Cinta yang melalaikan, kasih yang menghampakan, rindu yang tidak berbalas serta pelbagai lagi punca kesedihan hati hendaklah dihapuskan oleh kesibukkan beramal, kerja gigih dan usaha yang berlipat kali ganda untuk mengumpul bekal dan amalan bagi menghadapi kedahsyatan hari akhirat.

Firman Allah SWT : “Pada hari itu (Hari Kiamat) Seseorang itu akan lari daripada saudaranya, ibu serta bapanya, isteri serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka itu pada hari tersebut akan disibukkan dengan urusan dirinya sendiri sahaja.” (Surah Abasa : 33-37)

p/s :

Nasihat ini ditujukan untuk mereka yang selalu mengadu kesedihan di atas kejadian-kejadian yang pelbagai,termasuk lah diri saya sendiri yang meluah kan apa yang saya rasa kepada seorang sahabat yang dipercayaai Abaikanlah rasa hati dan kata orang yang mencaci jika kita ingin bahagia dan mencari redha Ilahi kerana jalan menuju-Nya tidak sunyi dari celaan dan dugaan.

wanita PEMBAKAR MATA dan PERESAH HATI...??betul ker???


Di zaman ini kita dapat lihat ramai wanita khususnya muslimah yang mula tidak menjaga maruah diri dan hilang sifat malu. Satu mafhum hadis Rasulullah S.A.W menyebut
“ bilamana engkau tidak malu, maka berbuatlah sekehendak hatimu”.

Hadis ini bukan galakan untuk kita buat sesuka hati kita je, melakukan ape yang dilarang dan meninggalkan ape yang disuruh Allah dan RasulNya. Bukan itu maksudnya! Ini satu bentuk sindiran yang tersirat makna mencegah.

Cuba hayati dialog seorang ibu dengan anaknya yang degil untuk mendengar kate ibunya bilamana ibunya melarang anak kecilnya memanjat pokok kelapa: berkata si anak : “ibu,leh tak man(salman) nak panjat pokok kelapa tu? “ Si ibu yang risau akan keselamatan anaknya berkata dengan lemah lembut, “ jangan panjat man,nanti jatuh man jugak yang susah nanti” Terus anak itu menjawab, “ alah ibu..man pandai panjat la..man kan kuat”..Maka, ibu yang menyangka anaknya degil mendengar nasihatnya terus berkata dengan nada sindiran, “ panjatlah man,panjatlah tinggi manapun yang man nak panjat..tp kalau jatuh jangan cari ibu”. Cuba hayati dialog dan cuba kaitkan cara nasihat ibu tadi kepada anaknya dan cara junjungan besar kita menasihati umatnya. Moga kita tergolong dari pengikut nabi Muhammad yang sentiasa mentaati segala tunjuk ajar dan sunnah baginda.

Islam tidak bezakan taraf wanita dan lelaki. Yang berbeza adalah tahap ketaqwaan masing-masing. Malah wanita yang solehah itu diumpamakan sebagai penyejuk mata dan penenang hati bagi sang lelaki.Tapi yang sedihnya wanita hari ini khususnya kebanyakan wanita muslimah sudah menjadi pembakar mata dan peresah hati bagi lelaki. setujukah anda dengan pendapat saya???fikirkan lah...

Pembakar mata? Ye pembakar mata bagi lelaki di akhirat nanti. Mata yang tak dijaga dari pandangan haram. Mata yang tak terjaga dari melihat bentuk tubuh wanita yang haram bagi lelaki yang bukan suami melihatnya. Semua kategori mata ini akan dicucuh dengan besi api yang tersangat panas dari api neraka( nauzubillah).

Kebanyakan wanita hari ini dengan ‘selamber’ je keluar rumah dengan berpakain yang terlalu ketat. Bertudung tapi bentuk badan jelas terpampang di setiap legar mata yang memandang. Malahan sekarang budaya memakai tudung selendang tanpa memakai anak tudung dilam.Ditambah pula keayuaan wajah dihiasi dengan warna ‘mack up’ yang menambahkan lagi daya tarikan orang yang melihat. Aduh malunya aku sebagai lelaki islam jika ada wanita begini....Akibatnya, bergeloralah hati sang lelaki yang melihat keayuan wanita itu. Tercemarlah kekhusukan hati sang lelaki pada Rabbnya kesan melihat wanita ajnabi yang tak menjaga auratnya kerana pepatah melayu menyebut ‘dari mata jatuh ke hati’. Bila sampai ke hati,maka hati itu akan mulai resah gelisah. Hati mula terhijab dengan khaliqnya,maka akan terus rosaklah hati itu. Akhirnya,berlakulah pergaulan bebas seterusnya terjun ke lembah penzinaan,perogolan,pencabulan dll. Masyarakat terus punah dan ranah dek kerana sikap tak berhati-hati para wanita akhir zaman ini.

Jadi,ayuh kita bersama mendidik diri kita dan sahabat-sahabat wanita yang lain untuk kembali menghayati akhlak islam yang sebenar. walaupun kita sebagai lelaki pekara sekecil ini wajib kita ketahui dan pelajari malah kita wajib lakukan kerana kita pasti bekeluarga dan mempunyai anak-anak.Bukan akhlak barat yang diimport kemudian diadun semula dengan versi baru atas nama islam…Wallahualam

Pandanglah dalamannya bukan luarannya sahaja!!!!!


"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.." Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji. Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya.

Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari. Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai. Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan menyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya.

Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk, cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran: "Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allah lah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl: 53 Wallahu a'lam...

Semoga kita sentiasa dibimbingNya dalam bermujahadah menjadi yang terbaik... Yang baik datang dari Allah S.W.T & yang kurang itu is from my weaknesses..

PENAWAR JIWA


Apabila persoalan mengenal tuhan berbangkit, satu frasa yang sangat mahsyur adalah, “kenali diri, maka kamu akan kenali tuhanmu.” Maka, saya mulakan intro saya dengan mengajak pembaca-pembaca semua mengenal diri terlebih dahulu. Justeru, topik perbincangan akan mengarah kepada cara mengenal diri pula. Walau bagaimanapun, saya tidak akan mengulas panjang-lebar mengenai jenis personaliti, kekuatan dan kelemahan diri dan yang sewaktu dengannya, sebaliknya cukup sekadar saya membangkitkan kesedaran para pembaca kepada satu suruhan agama, iaitu berfikir.
Dalam al-Quran, terdapat banyak sekali ayat-ayat Allah yang menyuruh supaya kita berfikir. Mengapa? Walaupun senarai kelebihan berfikir ini berjela-jela panjangnya, tetapi di akhirnya kita berfikir untuk memahami. Memahami mengapa sesuatu perkara wujud, bagaimana sesuatu perkara berlaku, siapa yang menyebabkan ia berlaku, sampai bila ia akan berlaku dan sebagainya. Kesemua persoalan ini menjurus kepada untuk memahami.
Maka, apabila kita telah faham, kita akan bertindak (usaha). Contoh mudahnya begini: apabila kita tahu bahawa makan banyak boleh menyebabkan kegemukan, kita akan mula ada kesedaran. Apabila kita fahami lebih mendalam masalah-masalah yang akan timbul apabila kita gemuk (akibat banyak makan), kita akan berusaha mencegahnya daripada berlaku. Maka, ketika itulah kita akan cari maklumat tentang kalori makanan, diet yang baik, makanan yang sihat dan sebagainya.
Perumpamaan ini samalah dengan misi kita dalam mencari tuhan. Apabila kita tahu siapa kita, iaitu suatu makhluk yang punyai kelemahan, keperluan dan keinginan, barulah kita akan sedar bahawa sebenarnya kita hanyalah sekadar hamba. Hamba kepada sang pencipta segala makhluk. Hamba yang perlukan kepada ihsan dan kekuatan dari penciptanya.
Maka, ketika kita kenal dan faham tentang diri kita, kita mula rasa ingin tahu pula tentang siapa pencipta yang Maha Kuasa itu. Pencipta yang berkuasa menggerakkan segala sel dan urat dalam makhluknya. Pencipta yang hanya perlu katakan “jadilah”, maka jadilah ia. Lebih dalam kita cuba mengenal diri-Nya, lebih tenang dan jelas rasa makna hidup ini. Baru jelaslah mengapa semua yang berlaku pada diri dan alam ini berlaku. Semuanya berlaku kerana ada sebabnya. Sunnatullah. Itulah sebabnya banyak kali Allah menyeru kepada manusia untuk berfikir dan merenung kejadian alam. Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A'raaf : 179]
Peringkat seterusnya setelah ada kefahaman tentang kewujudan pencipta adalah kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Di sinilah kesungguhan menentukan sampai atau tidak seseorang hamba kepada pencipta-Nya. Kesungguhan yang saya maksudkan di sini ialah usaha memperbanyakkan amalan yang disukai Allah. Sama juga seperti kita hendak menarik perhatian orang yang kita sayangi. Maka kita lakukan apa yang disukainya, dengan harapan dia menyedari dan menaruh minat pula kepada kita.
Antara amalan yang paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah menurut para ulama adalah amalan berzikir. Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Termidzi dan Ibnu Majah bermaksud:
“Mahukah kalian kuberikan tentang sebaik-baik amalmu, semulia-mulianya di hadapan Rajamu setinggi-tingginya darjatmu, dan justeru ia itu lebih baik bagimu daripada menginfaqkan emas dan perak, serta lebih baik bagimu daripada kamu bertemu musuhmu lalu kamu pukul leher-leher mereka dan merekapun memukul leher-lehermu? Mereka (para sahabat) menjawab, “Mahu, ya Rasulullah”. Dia (kemudian) bersabda: Zikrullah.”
Sesungguhnya hanya Allah yang dapat member petunjuk dan hidayah. Tetapi kitalah yang harus berusaha mendapatkan petunjuk dan hidayah itu. Mereka yang tunduk kepada nafsu akan terus jauh dari Allah dan mereka yang menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampirinya 1000 langkah.
“Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [Al-Jatsiyah : 23]

Isnin, 16 April 2012

Sahabat Lama vs Sahabat Baru


Antara akhlak buruk dalam persahabatan itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat lama anda.

Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya akan terputus! Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.

Ya, menjalinkan silaturrahim sesama manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.

Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda dan mereka tiada seri!
Kerana menjumpai sahabat baru, maka sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.

Saya sangat pasti, anda tidak mahu persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.

Sahabat anda yang lama itu, jika benar menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai berbanding dia.

Persoalannya bukanlah kerana anda mempunyai sahabat baru.Tetapi persoalannya adalah mengenai sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina. Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan. Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat ini memang betul!


Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat

Saya suka membaca mengenai sirah Rasulullah SAW; layanan Baginda terhadap kesemuanya sahabatnya. Umum tahu bahawa Baginda mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup susah senang bersama Baginda. Dan setiap seorang dari mereka itu sebolehnya Baginda memberikan layanan istimewa dan membuatkan mereka merasa jiwa mereka dan jiwa Baginda itu sangat dekat walaupun Baginda pernah mengatakan bahawa sahabat yang paling dicintainya adalah Abu Bakar r.a..

Namun itu tidak membuatkan mereka jauh hati. Mereka merasa diberi keistimewaan oleh Rasulullah SAW sendiri, malahan! Layanan dan pendekatan yang Rasulullah berikan terhadap para sahabatnya menumbuhkan perasaan kepada diri masing-masing bahawa diri mereka adalah orang yang terdekat dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah tidak lokek untuk memuji para sahabatnya. Walaupun kedudukan Rasulullah itu tinggi dan manusia mulia, namun itu tidak menghalang Rasulullah untuk bergurau-senda dengan sahabat-sahabat Baginda SAW. Sebagai contoh, Abu Dzar pernah berjalan-jalan dengan Baginda SAW disuatu malam. Mu’adz pernah menunggang tunggangan berdua dengan Rasulullah dan banyak lagi akhlak Rasulullah yang menjadikan mereka merasa mereka mendapat tempat dihati Rasulullah SAW.

Indah kan? Saya jadi tersenyum sendiri dengan perwatakan dan pendekatan Baginda SAW. Wallahi, memang Baginda adalah contoh manusia ikutan sepanjang zaman! Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad!

Semaikanlah Benih Ukhuwah. Begitu juga sepatutnya, kita ini sebagai ummat Baginda SAW. Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!

Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya. Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi malah membantunya!

Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang teruk! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.

Jangan sahabat baru bertambah, sahabat lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah. Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya..

Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”

MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai seorang sahabat? Yang memuliakan sahabatnya lebih daripada diri sendiri. Nasihat yang terutamanya untuk diri saya sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar. Jika anda ada sahabat yang mengasihi anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.Bersyukur dan berilah rasa istimewa dihatinya sebagai seorang sahabat anda. Kerana dia, adalah sebahagian daripada hidup ini untuk ke akhirat! Senyum dalam keimanan selalu.
Semoga ALLAh merahmati.