Ukhwah bermula jua disini

Rabu, 20 Jun 2012

PENAWAR JIWA


Apabila persoalan mengenal tuhan berbangkit, satu frasa yang sangat mahsyur adalah, “kenali diri, maka kamu akan kenali tuhanmu.” Maka, saya mulakan intro saya dengan mengajak pembaca-pembaca semua mengenal diri terlebih dahulu. Justeru, topik perbincangan akan mengarah kepada cara mengenal diri pula. Walau bagaimanapun, saya tidak akan mengulas panjang-lebar mengenai jenis personaliti, kekuatan dan kelemahan diri dan yang sewaktu dengannya, sebaliknya cukup sekadar saya membangkitkan kesedaran para pembaca kepada satu suruhan agama, iaitu berfikir.
Dalam al-Quran, terdapat banyak sekali ayat-ayat Allah yang menyuruh supaya kita berfikir. Mengapa? Walaupun senarai kelebihan berfikir ini berjela-jela panjangnya, tetapi di akhirnya kita berfikir untuk memahami. Memahami mengapa sesuatu perkara wujud, bagaimana sesuatu perkara berlaku, siapa yang menyebabkan ia berlaku, sampai bila ia akan berlaku dan sebagainya. Kesemua persoalan ini menjurus kepada untuk memahami.
Maka, apabila kita telah faham, kita akan bertindak (usaha). Contoh mudahnya begini: apabila kita tahu bahawa makan banyak boleh menyebabkan kegemukan, kita akan mula ada kesedaran. Apabila kita fahami lebih mendalam masalah-masalah yang akan timbul apabila kita gemuk (akibat banyak makan), kita akan berusaha mencegahnya daripada berlaku. Maka, ketika itulah kita akan cari maklumat tentang kalori makanan, diet yang baik, makanan yang sihat dan sebagainya.
Perumpamaan ini samalah dengan misi kita dalam mencari tuhan. Apabila kita tahu siapa kita, iaitu suatu makhluk yang punyai kelemahan, keperluan dan keinginan, barulah kita akan sedar bahawa sebenarnya kita hanyalah sekadar hamba. Hamba kepada sang pencipta segala makhluk. Hamba yang perlukan kepada ihsan dan kekuatan dari penciptanya.
Maka, ketika kita kenal dan faham tentang diri kita, kita mula rasa ingin tahu pula tentang siapa pencipta yang Maha Kuasa itu. Pencipta yang berkuasa menggerakkan segala sel dan urat dalam makhluknya. Pencipta yang hanya perlu katakan “jadilah”, maka jadilah ia. Lebih dalam kita cuba mengenal diri-Nya, lebih tenang dan jelas rasa makna hidup ini. Baru jelaslah mengapa semua yang berlaku pada diri dan alam ini berlaku. Semuanya berlaku kerana ada sebabnya. Sunnatullah. Itulah sebabnya banyak kali Allah menyeru kepada manusia untuk berfikir dan merenung kejadian alam. Firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A'raaf : 179]
Peringkat seterusnya setelah ada kefahaman tentang kewujudan pencipta adalah kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Di sinilah kesungguhan menentukan sampai atau tidak seseorang hamba kepada pencipta-Nya. Kesungguhan yang saya maksudkan di sini ialah usaha memperbanyakkan amalan yang disukai Allah. Sama juga seperti kita hendak menarik perhatian orang yang kita sayangi. Maka kita lakukan apa yang disukainya, dengan harapan dia menyedari dan menaruh minat pula kepada kita.
Antara amalan yang paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah menurut para ulama adalah amalan berzikir. Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Termidzi dan Ibnu Majah bermaksud:
“Mahukah kalian kuberikan tentang sebaik-baik amalmu, semulia-mulianya di hadapan Rajamu setinggi-tingginya darjatmu, dan justeru ia itu lebih baik bagimu daripada menginfaqkan emas dan perak, serta lebih baik bagimu daripada kamu bertemu musuhmu lalu kamu pukul leher-leher mereka dan merekapun memukul leher-lehermu? Mereka (para sahabat) menjawab, “Mahu, ya Rasulullah”. Dia (kemudian) bersabda: Zikrullah.”
Sesungguhnya hanya Allah yang dapat member petunjuk dan hidayah. Tetapi kitalah yang harus berusaha mendapatkan petunjuk dan hidayah itu. Mereka yang tunduk kepada nafsu akan terus jauh dari Allah dan mereka yang menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampirinya 1000 langkah.
“Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [Al-Jatsiyah : 23]

Isnin, 16 April 2012

Sahabat Lama vs Sahabat Baru


Antara akhlak buruk dalam persahabatan itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat lama anda.

Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya akan terputus! Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.

Ya, menjalinkan silaturrahim sesama manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.

Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda dan mereka tiada seri!
Kerana menjumpai sahabat baru, maka sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.

Saya sangat pasti, anda tidak mahu persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.

Sahabat anda yang lama itu, jika benar menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai berbanding dia.

Persoalannya bukanlah kerana anda mempunyai sahabat baru.Tetapi persoalannya adalah mengenai sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina. Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan. Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat ini memang betul!


Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat

Saya suka membaca mengenai sirah Rasulullah SAW; layanan Baginda terhadap kesemuanya sahabatnya. Umum tahu bahawa Baginda mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup susah senang bersama Baginda. Dan setiap seorang dari mereka itu sebolehnya Baginda memberikan layanan istimewa dan membuatkan mereka merasa jiwa mereka dan jiwa Baginda itu sangat dekat walaupun Baginda pernah mengatakan bahawa sahabat yang paling dicintainya adalah Abu Bakar r.a..

Namun itu tidak membuatkan mereka jauh hati. Mereka merasa diberi keistimewaan oleh Rasulullah SAW sendiri, malahan! Layanan dan pendekatan yang Rasulullah berikan terhadap para sahabatnya menumbuhkan perasaan kepada diri masing-masing bahawa diri mereka adalah orang yang terdekat dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah tidak lokek untuk memuji para sahabatnya. Walaupun kedudukan Rasulullah itu tinggi dan manusia mulia, namun itu tidak menghalang Rasulullah untuk bergurau-senda dengan sahabat-sahabat Baginda SAW. Sebagai contoh, Abu Dzar pernah berjalan-jalan dengan Baginda SAW disuatu malam. Mu’adz pernah menunggang tunggangan berdua dengan Rasulullah dan banyak lagi akhlak Rasulullah yang menjadikan mereka merasa mereka mendapat tempat dihati Rasulullah SAW.

Indah kan? Saya jadi tersenyum sendiri dengan perwatakan dan pendekatan Baginda SAW. Wallahi, memang Baginda adalah contoh manusia ikutan sepanjang zaman! Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad!

Semaikanlah Benih Ukhuwah. Begitu juga sepatutnya, kita ini sebagai ummat Baginda SAW. Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!

Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya. Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi malah membantunya!

Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang teruk! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.

Jangan sahabat baru bertambah, sahabat lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah. Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya..

Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”

MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai seorang sahabat? Yang memuliakan sahabatnya lebih daripada diri sendiri. Nasihat yang terutamanya untuk diri saya sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar. Jika anda ada sahabat yang mengasihi anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.Bersyukur dan berilah rasa istimewa dihatinya sebagai seorang sahabat anda. Kerana dia, adalah sebahagian daripada hidup ini untuk ke akhirat! Senyum dalam keimanan selalu.
Semoga ALLAh merahmati.



Selasa, 22 November 2011

"SEMUT HARUS DI CONTOHI"


As salam...saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemas kinikan http://bayang2cermin.blogspot.com/ dengan segera. Terlalu banyak urusan lain yang terpaksa didahulukan justerul janji dan peneguhan kata lebih awal. Insya-Allah terlalu rindu rasanya untuk menyambung catatan http://bayang2cermin.blogspot.com/

Dalam membaca sebuah buku motivasi, saya membaca dengan teliti. Kaedah dan bahasa yang digunakan oleh penulis sangat ’simple’ dan bersahaja dengan bahasa yang mudah untuk difahami pada pendapat saya sebagai seorang yang masih remaja. Penulis  menceritakan perihal komunikasi yang pernah berlaku antara seekor semut dengan nabi Sulaiman. Begini ceritanya..

Nabi sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang beberapa banyak makanan yang diperlukan untuk hidup dalam setahun. Lalu semut pon menjawab, ia hanya perlukan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya di tutup. Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezkinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi kepadaku? 

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Oleh itu pada pendapat saya berdasarkan penulisan ini adalah inilah sifat tawakakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezki. Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau rezki akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun… jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakkallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.”

Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam dalam apa yang di tuliskan, tetapi itulah yang ’mengganggu’ pemikiran dan rasa hati bila membaca cerita semut dan nabi Sulaiman oleh seorang penulis. Pada saya, pasti ada ’mesej’ dan ’signal’ daripada Allah untuk semua golongan masyarakat di sebalik ujian ini. Mustahil Allah lakukan semua ini dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil peringatan oleh para hamba-Nya.Hakikatnya, tidak kira sesiapa sahaja kita, kita harus contohi dan dapat belajar kejituan tawakkal dan kegigihan ikhtiar… daripada seekor semut !!! wallahualam....




Ahad, 20 Februari 2011

KENALAN, KAWAN, ATAU SAHABAT?

Sepanjang perjalanan hidup kita selaku manusia di dunia ini, kita berpeluang bertemu dan berkenalan dengan ramai orang. Sekali lihat, semuanya seperti sama sahaja. Semuanya manusia juga. Namun yang membezakan mereka yang kita ketemu itu, adalah berdasarkan sejauh mana kita mengenali mereka, sama ada kita rapat ataupun tidak dengan mereka.

Secara amnya, manusia yang kita jumpa dalam kehidupan seharian kita dapatlah dikatogeri kepada tiga kumpulan. iaitu kenalan, kawan dan sahabat. Mungkin orang yang kita jumpa itu sekadar seorang kenalan, atau mungkin juga seorang kawan, malah boleh jadi juga dia merupakan seorang yang digelar sahabat. Ingin tahu apaah perbezaan antara tiga kumpulan ni? Mari perhatikan ciri-cirinya…


1) KENALAN (Known):

Mereka ini adalah orang-orang yang kita kenali dan ketahui nama mereka, namun kita tidak rapat dengan mereka. Nama mereka juga boleh jadi kita terlupa, namun diri dan wajah mereka tetap dapat kita kenalpasti.

Perhubungan adalah berputar sekitar "Hai/ Hello..." ataupun memberi salam, lalu berjabat tangan dan bersoal-jawab beberapa soalan, dan kemudiannya segera meminta diri. "Awak, minta maaf, saya ada urusan... Sampai jumpa lagi ye... Ok, bye..."

Kita saling mengenali tetapi tidak rapat dan tidak merasa apa-apa meskipun tidak berhubungan untuk sekalian lama. Ini kerana mereka tidak mempangaruhi dan tidak menyentuh hidup kita. Justeru, tidak ada kerinduan untuk bertemu.

Tetapi kalau berselisih atau terjumpa mereka secara tiba-tiba, pastinya kita akan berteguran juga. Namun sekadar bertegur sapa dan tidaklah sampai bercerita panjang. Seolah-olah mahu segera pergi dengan alasan ada urusan. Rasa seperti tidak enak untuk bercakap lama-lama.

Bagi mereka yang dalam golongan kenalan ini juga, kebiasaannya tiada makan minum bersama. Kalau diajak, juga keberatan. Sekadar memberi alasan, "terima kasih ye, tapi tak mengapalah, saya baru sahaja makan dan minum sebentar tadi...".

Pendek kata, orang yang merupakan “kenalan” kita adalah orang yang kita kenal namun tidak pula rapat, dan tidak juga meluangkan masa bersamanya.


2) KAWAN (Companions):

Mereka ini adalah orang-orang yang bersama-sama dengan kita, terutama sekali semasa bersekolah, atau menuntut di pengajian tinggi, ataupun ketika sama-sama mengikuti kursus atau latihan untuk suatu aktiviti.

Setiap hari pastinya kita akan bertemu dengan mereka, dan adakalanya bergurau mesra bersama. Seringkali meluangkan masa bersama, membesar sama-sama. Belajar, bersukan, dan segala apa aktiviti ketika di sekolah mahupun IPT, sentiasa dilakukan bersama.

Pada masa tersebut, kita begitu rapat dengan mereka. Tetapi apabila sudah tamat sekolah, ataupun pengajian/ kursus, masing-masing mulai sibuk dengan pekerjaan dan kehidupan sendiri. Maka perhubungan yang terjalin selama ini kini menjadi renggang. Ada yang masih berhubungan dan masih punya contact number, tetapi begitu jarang sekali untuk “keep in touch”, bahkan ada juga yang sampai "lost contact".

Walaubagaimanapun, kalau kita terjumpa dengannya di kedai atau di mana-mana pun jua, pastinya kita akan bertegur sapa dan mulai bercerita panjang. Ada sahaja kisah yang ingin dikongsikan bersama. Sampaikan hingga sanggup membuat janjitemu untuk berjumpa lagi di lain waktu. Sesekali meluangkan juga masa untuk makan dan minum bersama.

Adakalanya turut merancang untuk diadakan reunion supaya dapat berkumpul bersama-sama, beramai-ramai. Kisah-kisah lalu juga pasti akan terungkit kembali. Kisah yang manis dan lucu pasti menjadi bahan percakapan. Pelbagai pengalaman dan perkembangan diri selama tidak bertemu dan berhubungan, turut mahu diceritakan.

Pendek kata, kita jarang sekali berjumpa dgn mereka, tetapi kalau sudah ditaqdirkan berjumpa, pastinya akan bertanya khabar serta perkembangan terkini, dan merasa mahu berbual lama dgn mereka.


3) SAHABAT (Friends):

Mereka ini adalah orang-orang yang kita kenali sejak dari dulu lagi sampailah sekarang. Meskipun tidak selalu berjumpa, tetapi sekali-sekala masih tetap bertanyakan khabar, “stay in touch” dengan kita.

Hubungan yang terjalin begitu rapat. Susah senang seringkali dikongsi bersama. Hampir kesemuanya diceritakan, hingga seolah-olah tiada apa yang dirahsiakan antara mereka. Kalau ada apa-apa masalah, merekalah yang kita cari dan mereka jugalah yang akan sedia dan berusaha membantu kita menyelesaikan masalah kita.

Ada yang terpisah atas sebab-sebab tertentu
misalnya berlainan tempat pengajian. Namun demikian, biarpun tidak dapat selalu bersua muka, mereka akan tetap berhubungan sama ada melalui SMS, call, ataupun melalui kemudahan Internet seperti di Yahoo Messenger mahupun laman Facebook.

Biarpun tidak selalu berjumpa, namun sekurang-kurangnya ada jugalah beberapa kali bertemu dalam masa setahun. Misalnya pada hari-hari perayaan, ketika dibuat open house, ataupun sekadar datang menziarah bagi melepaskan rindu tidak bertemu sekian lama. Begitulah juga andainya kita mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan, mereka ini pasti kita jemput.

Kalau sudah berjumpa, pasti panjang sekali cerita yang dibualkan. Adakalanya, turut meluangkan masa untuk makan bersama sambil bercerita panjang lagi. Cerita suka dan gembira, disambut dgn nada yg sama. Begitu juga keadaannya apabila cerita duka dan sedih yg diluahkan, mereka juga akan turut bersimpati kepada kita.

Sekiranya mereka mendapat tahu bahawa kita sedang menghadapi masalah besar, maka pastinya mereka akan datang kepada kita menghulurkan bantuan semampu mereka meskipun kita tidak meminta. Mereka akan berusaha membantu meringankan beban kita dgn penuh ikhlas tanpa mengharapkan kita membalasnya.

Pendek kata, mereka ini adalah orang-orang yang benar-benar ikhlas dan jujur dalam bersahabat dengan kita. Sering memberi tanpa mengharapkan balasan. Susah senang suka duka kita, mereka ada dengan kita sebagai tempat untuk kita mengadu dan meluah rasa. Mereka inilah yang dikatakan SAHABAT...

Orang bijak berkata:

Kita memerlukan waktu
SATU MINIT untuk bertemu seseorang yg istimewa,
SATU JAM untuk menghargainya, dan
SATU HARI untuk menyukai dan mengasihinya...
TETAPI...kita memerlukan waktu
SEUMUR HIDUP untuk melupakannya!



Kesimpulannya, memang terlalu ramai orang yang kita temui dalam hidup kita. Namun bukan semua orang yang kita temui itu boleh dianggap sebagai sahabat. Sebenarnya kebanyakan yang kita temui itu hanyalah sekadar menjadi kenalan ataupun kawan buat kita. Bukan mudah untuk kita tentukan apakah seseorang itu boleh dijadikan sebagai sahabat, namun andainya hati kita yakin kepada seseorang, dan kita telah pun berjanji kepada diri kita mahupun kepada dirinya bahawa kita akan menjadi sahabatnya buat selama-lamanya, maka kita ada kewajipan untuk membuktikan janji kita ini. Jangan hanya sekadar berjanji manis di mulut, tetapi tidak pula ditunaikan janji tersebut. Pendek kata, bersahabat biarlah buat selamanya, dan yang paling penting, bersahabatlah dengan hati yang tulus dan ikhlas...

www.CherryCodes.com

Sabtu, 2 Oktober 2010

Pokok Pisang~(Sebaik-baik Manusia Adalah Yang Bermanfaat Kepada Manusia Lain)



Apabila anda melihat alam,perhatilah dengan mata akal diiringi iman.mari menjengah kepala mencerna ibrah dari sang Pisang.

Pisang tak pernah berbuah dua kali.Kalau ada,pasti dipuja dan disembah.Selepas berbuah pasti mati.Apa yang luar biasa,sebelum mati ia meninggal anak-anak'nya terlebih dahulu.Kemudian baru mati.

Pokok pisang tunjuk kat kita,bagaimana mahu menjadi orang yang berjasa.Sebaik-baik manusia asalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain.selagi pisang tidak berbuah,selagi itu dia akan terus hidup(lain la kalau ada yang gatal bunuh dia).Kalau pisang tak nak mati selagi tak berjasa,macamana pulak kita yang ada kudrat dan akal ni?Masih menyusahkan orang lain atau dalam usaha memberi manfaat kepada orang lain?Walau apa sekalipun biar ia bermanfaat...untuk kita dan orang lain.

Apa yang lebih menarik,pisang tidak terhenti setelah dia mati sahaja.tapi terlebih dahulu melahirkan 'anak-anak' yang bakal mengikut jejak sepertinya.Seolah ia menyambut sabdaan Nabi Muhammad S.A.W:

Selepas kematian anak Adam semua amalannya akan terputus,kecuali tiga:
Ilmu yang Bermanfaat
Anak soleh yang mendoakan
Amal jariah yang ditinggalkan


Seolah 'anak-anak'nya akan menghidupkan dirinya walau ia telah mati.Bagi manusia,terlalu banyak cara untuk membuktikan kita boleh menjadi lebih baik dari pisang.Bukan setakat memberi 'buah' dan melahirkan 'anak',malah lebih dari itu.Semuanya bergantung pada diri kita.

Setiap dari kita mesti bersedia untuk membuat kebaikan yang berterusan.Ambil pengajaran hebat dari pokok pisang yang biasa ini.Terus-terusan 'memberi' sekalipun sudah mati..
Ambillah ibarah dari Pokok Pisang..
www.CherryCodes.com



Ahad, 18 April 2010

TUHAN SUKA KELUHAN ORANG YANG BERDOSA


Keluhan orang berdosa kerana dosa-dosanya Tuhan amat suka,
Lebih-lebih lagi gugurnya air matanya waktu menangis
mengenangkan dosa-dosanya memadamkan api Neraka,
Takutnya kepada Tuhan kalau-kalau terbuat salah atau
takut tidak diampunkan dosa adalah ibadah,
Sedangkan orang beribadah belum tentu lagi jadi ibadah,
Kerana ibadah itu mestilah dirasa oleh hati di dalam ibadahnya,
Penghayatan itu adalah kerja hati,
Kalau fizikal sahaja yang nampaknya beribadah
hati tidak beribadah tidak ada erti apa-apa dengan ibadahnya,
Tuhan tidak pandang rangka tapi pandang isinya,
Rangka cantik macam mana sekalipun tidak ada isi
tidak ada erti apa-apa,
Rasa bertuhan dibawa ke mana-mana ini adalah ibadah batin,
Pahalanya sentiasa mengalir selagi ada rasa,
Rasa hamba dibawa ke mana-mana lemah dan
tiada kuasa adalah juga ibadah batin,
Rasa hamba itulah sifat hamba yang sebenarnya,
Janganlah sifat hamba itu ditukar kepada sifat tuan atau ketuhanan,
Itu sombong namanya,
Dia ambil pakaian Tuhan dan dipakainya,
Tuhan sangat murka,
Sifat ketuanan itu ialah bangga diri, Tuhan benci
Siapalah kita manusia ini hendak rasa bangga,
Takkan kita tidak sedar lemahnya diri manusia ini,
Mengapa pula kita rasa ada kuasa dan bangga diri pula,
Ini sikap orang yang tidak sedarkan diri,
Takkan kita tidak sedar bahawa kita ini dhaif dan lemah,
Setiap saat kita perlu bantuan,
Bantuan oksigen, bantuan kesihatan bantuan kerehatan,
Bantuan-bantuan yang diperlukan itu siapa yang empunya?
Takkan kita buat tidak tahu dari mana kita dapat,
Kalau kita sedar ini semuanya di dalam fikiran setiap masa
atau di dalam perasaan itulah dia ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan ibadah batin atau ibadah rohaniah namanya,
Perasaan itu atau kesedaran itu adalah diberi pahala.





Selasa, 2 Mac 2010


“Tidak memperdulikan keredhaan manusia jika di sebalik itu ada Kemurkaan Allah 'Azza wa Jalla. Sebab setiap orang di antara satu sama lain saling berbeza dalam sikap, rasa, pemikiran, kecenderungan, tujuan dan jalan yang ditempuh.

Berusaha membuat manusia redha adalah suatu yang tiada penghujungnya, tujuan yang sulit diketahui dan tuntutan yang tidak terkabul. Tetapi membuat Allah Redha adalah kemuncak diterimanya Amalan..”.

Salam...semoga semua sihat dalam RahmatNya selalu...petikan yang cukup ringkas daripada buku : "Malam Pertama di Syurga"...tetapi memberi makna yang cukup mendalam jika dihayati dan mengetahui tujuan hidup yang sebenar. Adakah naluri hati kita sentiasa berpandukan jalan dan niat yang tulus ? Adakah dengan mendapat penerimaan dan pujian daripada manusia sekeliling bermakna apa yang kita kerjakan mendapat di sisi Allah Yang Maha Pemurah?...saya amat takut sekiranya setiap yang dilakukan mendapat kemurkaan daripada Allah, walaupun kita menganggap ia sudah cukup baik untuk dilakukan...

Hati...ya, hati sering menukar niat kita tak kira masa..Nafsu..ya..nafsu sering digoda dengan bisikan halus syaitan laknattullah, fikiran..ya fikiran sentiasa ingin yang indah disekiling kita..Adakah berbaloi melakukan kebaikan tetapi niat untuk mendapat hanya dipandangan manusia?adakah manusia itu sendiri yang memberikan nikmat pahala dan ganjaran yang lebih baik daripada Allah SWT??...di Dunia...ya..penangan Dunia amat hebat...kemasyuran dan pujian umpama satu zat bagi insan yang bergelar manusia..."puji..puji la aku, kerana aku telah lakukan sedekah..." " hebatnya kamu, dapat menolong ramai orang".." dan banyak lagi contoh yang ada..dan mungkin berlaku disekeliling kita dan mungkin kita juga tergolong??..Nauzubillah.

Perlukan kita mempunyai ramai penyokong dan kroni jika kita tidak dapat manfaatkan nikmat Allah dengan sebaiknya.. dan sia-sia jika kita tidak dapat membimbing penyokong kita ke arah yang diRedhaiNya...kita perlu lihat bagaimana cara yg telah kita lakukan pastikah ia tidak menyimpang daripada unjuran yang sepatutnya?..Tidak guna mendapat sokongan daripada penyokong (manusia) tetapi jauh dari RedhaNya Allah...mendabik dada, menghina dan mengutuk orang tidak sekufu dengan kita...apa yang kita perlu sebenarnya?...RedhaNya Allah kita cari, bukan sebaliknya...

Pabila ramai yang menyokong kita mula sombong dengan Allah, mengharapkan berkat manusia daripada Keberkatan Allah, (adakah manusia yg memberikan berkat kepada kita?)riak..."ya..aku di Jalan TuhanKU..."..adakah ai sekadar laungan? "aku tidak pedulikan yang lain janji ramai yang menyokongku"... (sebagi contoh shj)...

Secara realitinya, kita sering mengharapkan ganjaran dan manfaat dengan apa yang kita lakukan...Beriman, Yakin dan setialah kepadaNYA..InsyaAllah..dengan niat hanya mengharapkan KEREDHAAN dariNYA..Allah tidak akan sia-sia kan kita..dan tidak sesekali DIA berpaling untuk memberikan nikmat kepada kita..tetapi jika berpaling dariNYA....ingat, dan sentiasa bermuhasabah diri.. DIA amat berkuasa dan DariNYA kita dijadikan kepada Dia kita kembali...dan Dunia ini hanya tempat persinggahan yang singkat, jika kita tidak manfaatinya..rugi yang nyata.Sesungguhnya saya mengingati diri saya sendiri...


p/s : BERDOA DENGAN NAMA ALLAH YANG MUSTAJAB

" Ya Allah , Ya TuhanKu..Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu bahawa bagiMu segala puji-pujian, tiada tuhan melainkan Engkau yang satu. Tiada sekutu bagi Engkau yang Maha Memberi anugerah, yang Maha Mencipta langit dan bumi, yang Memiliki Keagungan.