Ukhwah bermula jua disini

Isnin, 15 Disember 2014

PERTOLONGAN YANG TIDAK PERNAH DIDUGA


Tanpa kita ketahui, sebenarnya pertolongan Allah itu sering sahaja berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Bagi yang sentiasa meletakkan diri dalam keindahan tawakkal kepadaNya (tawakkal'alallah), saat pertolongan& bantuan Allah itu pasti lahir, jiwanya sentiasa dirundung rasa keinsafan. Lidahnya tidak henti-henti mengucapkan rasa syukur sehinggakan air matanya turut sama menyatakan rasa terima kasih tidak terhingga kerana masih mendapat pandangan kasih Rabb-nya. Lantas, amalnya diperhebat kerana dalam diri tersemat indah rasa kehambaan kecintaan pada ilahi. Keimanannya bahawa dengan mengingati Allah dikala senang, pasti mendapat perhatian Allah di kala susah semakin menebal. Alangkah indahnya saat jiwa berada dalam dakapan iman!

Bagi jiwa yang sakit (it doesn't mean sick,its full of hatred), pasti pertolongan yang hadir itu dirasakan dengan berkat usahanya sendiri dengan menafikan bahawa tiap-tiap yang berlaku itu hanya terjadi dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Inilah realiti kehidupan yang terjadi pada umat baginda rasul, Muhammad s.a.w yang diuji dengan pangkat dan harta kekayaan. Begitu juga dengan konteks kita yang berjaya memperoleh keputusan/pekara yang cemerlang. Masih wujud sebilangan besar diantara kita yang terlupa untuk mensyukuri nikmat kejayaan yang diberikan Tuhan kepada kita. Mengapa hal ini terjadi, berbalik kepada jawapan yang sama. Kerana lunturnya rasa dan jiwa kehambaan. Disebabkan perkara ini, kita sebagai rakan kepada sahabat- sahabat seharusnya mencari kelemahan masing-masing dan memperbaiki kekurangan yang ada pada diri dan jiwa hendaknya sementara iman dipertingkat untuk merasai nikmat iman itu sendiri.

Justeru, bagi orang-orang yang beriman, jangan pernah dirisaukan dengan perihal balasan Allah s.w.t kepada mereka ini. Sesungguhnya kurnia Allah sangat luas. Masakan Allah tidak mengetahui penat lelah hamba-hambanYa yang soleh? Sehinggakan dunia dan seluruh isinya tidak layak diberikan sebagai ganjaran kepada mereka. Yang menanti pasti singgahsana nan indah di syurga kelak. Jangan pernah membiarkan disease ujub, riak dan takabbur merebak di hati. Juga jangan pernah menyesal andai segala apa yang kita kecapi tidak kita perolehi. Tiada satu makhluk pun yang bisa menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah s.w.t. Pasti, bagi mereka yang terlibat di dalam jalan dakwah ini, persoalan mengenai himpitan-himpitan masalah menebal di benak fikiran kamu. Barangkali pernah juga terlintas " Benarkah apa yang saya lakukan ini? Jika Allah meredhai apa yang saya lakukan, masakan saya diuji sebegini rupa?" Ingatlah, berjuang memang pahit dan menyakitkan! Kerana kelak balasan di syurga itu manis. Masakan, adakah jalanan perjuangan dihampar permaidani merah? Bersyukurlah bagi mereka yang diuji dengan kesusahan sedangkan ujian berupa kesenangan itu sememangnya lebih payah.

Oleh itu, nilailah kembali betapa kita ini sebenarnya mampu mengecapi nikmat kehidupan hanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Beristighfarlah dengan ibu segala istighfar andai pernah terdetik di dalam hati rasa 'ujub,riak dan takabbur. Mudah-mudahan redha Allah bersama kita..

Allahumma irhamna bil Quran, Waj'alhu lana imaman wa nuran wa hudan wa rahmah. Allahumma zakkirna minhuma nasina wa 'allimna minhuma jahilna, waj'al hulana hujjatan ya Rabbal'Alamin..

Ya Allah kasihanilah kami dengan Al-Quran, jadikanlah ia imam, cahaya dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami ketika lupa serta bimbinglah kami ketika kami tidak mengetahui serta jadikanlah Al-Quran itu hujjah bagi kami..

Wallahu'alam...


Tiada ulasan: