Ukhwah bermula jua disini

Rabu, 20 Jun 2012

Jangan kau Tangisi Apa yang Bukan Milik-Mu



Semasa tidur tengahari tadi selepas solat zohor dengan izin Allah SWT saya telah bermimpi…

Saya bermimpi menjaga seorang wanita yang cantik, wanita itu ingin menyalin pakaian dan mandi di sebuah tandas yang usang. Saya berdiri di hadapan pintu masuk dan menjaga tandas itu agar tiada lelaki yang dapat memasukinya atau mengintip wanita itu mandi. Bahkan saya sendiri tidak memandang wanita itu sebaliknya begitu cermat dan berhati-hati mengawal tandas tersebut.

Berpusing-pusing mengelilingi tandas yang usang dan mengawal dengan setia.

Saya menjadi pengawal yang sangat berdedikasi kerana inginkan kebaikan kepada wanita itu.

Malangnya saya diherdik dari dalam, dituduh oleh wanita itu kononnya saya mahu menghendapnya, mahu mengintipnya dan menyuruh saya supaya pergi.

Terdengar suara yang menyakitkan dengan tuduhan yang pelbagai.

Namun saya tabah dan setia mengawalnya kerana saya berpendapat saya telah jatuh hati kepadanya dan mahu mengawal demi untuk kebaikannya.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang kacak dan bergaya moden, menerjah masuk ke dalam tandas tersebut daripada pintu belakang dan berjalan menuju ke ruangan mandi wanita tersebut, sambil bersandar di dinding menghadap wanita tersebut maka lelaki itu pun kemudian berborak mesra dan bertegur sapa dengan wanita itu.

Mereka berbual mesra seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Melihat keadaan yang berlaku saya segera menjadi sedih, benci dan geram yang tidak terhingga lalu berjalan keluar meninggalkan wanita tersebut dan tandas yang usang itu.

Sebelum terjaga maka saya terdengar sebuah suara yang menegur saya dengan mengatakan:

“Janganlah bersedih atau runsing dengan sesuatu yang bukan milikmu.”


Saudara/i yang dihormati sekalian,

Kita hanyalah disuruh berusaha bukan mengharap hasil balasan atas apa yang diusahakan di dunia kerana akhiratlah nanti baru merupakan hari pembalasan bukan sekarang ini di dunia.

Di dalam kehidupan ini kita sering menghadapi kekecewaan apabila kebaikan yang dilakukan tidak mendapat balasan yang setimpal.

Namun apabila kita sedar bahawa dunia ini bukanlah milik kita dan setiap sesuatu yang wujud di sisi kita hanyalah sebagai pinjaman yang sementara yang akan kita tinggalkan maka dengan izin Allah kita akan mampu untuk berasa tenang dan merasai bahagia.

Daripada Ibnu Umar ra yang menyebut bahawa rasulullah pernah memegang bahunya lalu bersabda : “Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang asing atau pengembara.” Lalu Ibnu Umar berkata : “Jika engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu sehingga waktu pagi dan jika engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu waktu petang tetapi pergunakanlah waktu sihatmu sebelum kamu menjadi sakit dan waktu hidupmu sebelum kamu mati.”( Hadis riwayat Bukhari)

Kewajipan kita tersangatlah banyak, sedangkan masa kita pula adalah tersangat terhad maka oleh kerana itu janganlah kita membuang masa, waktu dan tenaga untuk bersedih kepada sesuatu yang bukan milik kita dan tidak pula menjadi beban tanggungjawab kita.

Kurangkanlah beban di dalam hidup.

Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah meninggalkan apa yang tidak perlu untuk bekalan kita di hari akhirat. Sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dari riwayat Abu Hurairah ra yang bermaksud : “ Sebaik-baik perkara di dalam Islam ialah seseorang itu meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (Hadis hasan, riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Cinta yang melalaikan, kasih yang menghampakan, rindu yang tidak berbalas serta pelbagai lagi punca kesedihan hati hendaklah dihapuskan oleh kesibukkan beramal, kerja gigih dan usaha yang berlipat kali ganda untuk mengumpul bekal dan amalan bagi menghadapi kedahsyatan hari akhirat.

Firman Allah SWT : “Pada hari itu (Hari Kiamat) Seseorang itu akan lari daripada saudaranya, ibu serta bapanya, isteri serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka itu pada hari tersebut akan disibukkan dengan urusan dirinya sendiri sahaja.” (Surah Abasa : 33-37)

p/s :

Nasihat ini ditujukan untuk mereka yang selalu mengadu kesedihan di atas kejadian-kejadian yang pelbagai,termasuk lah diri saya sendiri yang meluah kan apa yang saya rasa kepada seorang sahabat yang dipercayaai Abaikanlah rasa hati dan kata orang yang mencaci jika kita ingin bahagia dan mencari redha Ilahi kerana jalan menuju-Nya tidak sunyi dari celaan dan dugaan.

2 ulasan:

~fiyz~ berkata...

semua yang kita miliki sememangnya bukan milik kita....

Danial Ahmad berkata...

semuanya duniawi kan fizy...