Apabila persoalan mengenal tuhan berbangkit, satu frasa yang sangat mahsyur adalah, “kenali diri, maka kamu akan kenali tuhanmu.” Maka, saya mulakan intro saya dengan mengajak pembaca-pembaca semua mengenal diri terlebih dahulu. Justeru, topik perbincangan akan mengarah kepada cara mengenal diri pula. Walau bagaimanapun, saya tidak akan mengulas panjang-lebar mengenai jenis personaliti, kekuatan dan kelemahan diri dan yang sewaktu dengannya, sebaliknya cukup sekadar saya membangkitkan kesedaran para pembaca kepada satu suruhan agama, iaitu berfikir.
Dalam al-Quran, terdapat banyak sekali ayat-ayat Allah yang menyuruh supaya kita berfikir. Mengapa? Walaupun senarai kelebihan berfikir ini berjela-jela panjangnya, tetapi di akhirnya kita berfikir untuk memahami. Memahami mengapa sesuatu perkara wujud, bagaimana sesuatu perkara berlaku, siapa yang menyebabkan ia berlaku, sampai bila ia akan berlaku dan sebagainya. Kesemua persoalan ini menjurus kepada untuk memahami.
Maka, apabila kita telah faham, kita akan bertindak (usaha). Contoh mudahnya begini: apabila kita tahu bahawa makan banyak boleh menyebabkan kegemukan, kita akan mula ada kesedaran. Apabila kita fahami lebih mendalam masalah-masalah yang akan timbul apabila kita gemuk (akibat banyak makan), kita akan berusaha mencegahnya daripada berlaku. Maka, ketika itulah kita akan cari maklumat tentang kalori makanan, diet yang baik, makanan yang sihat dan sebagainya.
Perumpamaan ini samalah dengan misi kita dalam mencari tuhan. Apabila kita tahu siapa kita, iaitu suatu makhluk yang punyai kelemahan, keperluan dan keinginan, barulah kita akan sedar bahawa sebenarnya kita hanyalah sekadar hamba. Hamba kepada sang pencipta segala makhluk. Hamba yang perlukan kepada ihsan dan kekuatan dari penciptanya.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A'raaf : 179]
Peringkat seterusnya setelah ada kefahaman tentang kewujudan pencipta adalah kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Di sinilah kesungguhan menentukan sampai atau tidak seseorang hamba kepada pencipta-Nya. Kesungguhan yang saya maksudkan di sini ialah usaha memperbanyakkan amalan yang disukai Allah. Sama juga seperti kita hendak menarik perhatian orang yang kita sayangi. Maka kita lakukan apa yang disukainya, dengan harapan dia menyedari dan menaruh minat pula kepada kita.
Antara amalan yang paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah menurut para ulama adalah amalan berzikir. Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Termidzi dan Ibnu Majah bermaksud:
Sesungguhnya hanya Allah yang dapat member petunjuk dan hidayah. Tetapi kitalah yang harus berusaha mendapatkan petunjuk dan hidayah itu. Mereka yang tunduk kepada nafsu akan terus jauh dari Allah dan mereka yang menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampirinya 1000 langkah.
“Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [Al-Jatsiyah : 23]
1 ulasan:
sye ske membaca entry penawar hati ini...myedarkan diri yg benar khilaf dn kerdil disisi-Nya.. namun berusaha mndkt kn diri mgjar keredhaan-Nya..bekalan dunia dan akhrt ..Insya-Allah... =)
Catat Ulasan